“Kenyataan Media Bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mengenai Penularan Berita Palsu Wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV).
PDRM dan SKMM mengambil serius akan perbuatan ini dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan ketakutan, panik atau kegusaran kepada orang awam, seterusnya menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.
Pemantauan oleh PDRM dan SKMM mendapati media sosial dan pesanan dalam talian telah menjadi satu platform utama bagi penularan berita palsu mengenai Novel coronavirus (2019-nCoV).
Penyebar berita palsu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya. Pendakwaan turut boleh dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
PDRM dan SKMM telah mengenalpasti empat (4) individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan Novel coronavirus (2019-nCoV).”
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Kepada pengguna di luar sana, jadilah rakyat yang bijak! Jangan sikit-sikit nak viral, sedangkan tidak sahih langsung.
Saintis global dengan bantuan WHO turun ke China untuk melakukan kajian dan perubatan, namun netizen Malaysia lebih hebat dalam bidang mikrobiologi lebih lagi di media sosial.
Sebagai pengguna yang “maju”, janganlah mudah terpedaya dengan fakta-fakta palsu. Sila kaji, hadam dan dengar pendapat dari pihak profesional seperti televisyen dan radio. Bukannya dari WhatsApp, yang tidak menyertakan bukti kukuh dan kepala mesej.