Salah satu pengumuman yang mendapat perhatian rakyat Malaysia sewaktu pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah peruntukan sebanyak RM20 Juta untuk platform e-Sukan negara. Ini menunjukkan kadar tersebut meningkat RM10 juta berbanding pada tahun ini.
e-Sukan adalah satu arena sukan terbaru yang meningkat secara drastik di seluruh dunia pada sejak tahun kebelakangan ini. Antara faktornya adalah persaingan sengit antara pemain dalam pertandingan besar dunia, yang disertai oleh pelbagai pasukan dari pelbagai negara. e-Sukan ini adalah sukan yang berjaya, mendapat sambutan dan peroleh tajaan yang besar dalam industri sukan.
Melihat peluang tersebut, kerajaan Malaysia nampaknya mengiktiraf bidang e-Sukan di mana anak muda tempatan boleh menjadikan bidang e-Sukan sebagai kerjaya dan salah satu usaha meningkatkan nama Malaysia.
“Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf potensi tinggi e-Sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020. Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019”, kata Menteri Kewangan.
Peruntukan besar ini pastinya dapat digunakan untuk mencari dan melatih atlet yang berbakat di samping menyediakan tempat latihan yang berkualiti tinggi untuk melahirkan atlet gaming berbakat dari Malaysia. Terutama dalam sukan SEA nanti di mana e-Sukan merupakan salah satu acara rasmi yang akan dipertandingkan nanti.